Sunyi ialah Indah

17 Disember 2011, Sabtu

Ramai tidak menyedari di sebalik kesunyian ialah keindahan. Kini alam fikiran tertumpu tanpa ganguan. Rasa gembira mendatangi apabila idea-idea tentang kehidupan terus memugar perjalanan waktu yang berterusan. Rasa syukur pada ketika yang ada bertambah dihargai.

Azam Baru

9 September 2011, Jumaat

Peristiwa dan waktu mempengaruhi rentak penjalanan hidup kita. Aidilfitri bagi Muslim lambang sebuah pencapaian. Semangatnya ia untuk terus yakin membina kekuatan dalaman bagi menangani pelbagai cabaran mendatang. Dalam sambutannya yang meriah, ia juga mengundang azam baru untuk meningkatkan kehadiran diri di pentas kehidupan. Tentu ia memerlukan penelitian baru tentang cabaran mendatang dan makna-makna baru tentang kehidupannya.

(Tahun ini beraya di Chenderong Batu. Pertama kali menyampaikan Khutbah Aidilfitri di masjid. Generasi kepimpinan qariah mula beralih. Begitulah putaran waktu)

Jaafar Abdul Rahim

13 Ogos 2011, Sabtu



Saya mengenali beliau pertama kali semasa bergiat dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Pkpim. Semasa itu masih menuntut di Pusat Matrikulasi, UIA. Jaafar Abdul Rahim (sekarang Datuk) pada waktu itu ialah seorang pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka. Setelah berhubung, tenyata beliau seorang yang komited dengan dunia buku dan ilmu pengentahuan. Setiap pertemuan ialah perbicangan berkenaan isu-isu dalam dunia pemikiran. Ketika itu, nama-nama ahli falsafah, tajuk-tajuk buku terkini dan tema berfikir semasa didedahkan. Pasca moden telah mula dibincangkan dalam pertemuan diawal 90an. Critical Thinking ialah bidang yang menjadi antara aspek dan minat pemikiran utama identiti Jaafar.

Setelah itu, kami menjadi sahabat. Beliau mendorong saya terlibat dalam dunia penulisan. Pada waktu itu, beliau ialah kolumnis tetap di Utusan Malaysia. Atas sokongannya, saya menceburi bidang falsafah sebagai kajian utama pengajian hingga hari ini.

Bertemu beliau diacara Iftar dirumahnya membangkitkan semula kenangan dan semangat lalu. Komitmen terhadap ilmu pengentahuan terus utuh. Namun, usia dan kesihatannya sedikit menghambat. Agak kurus berbanding diusia mudanya yang kacak dan lincah. Namun, pemikirannya terus cergas. Berkenalan dengannya telah membawa saya menghargai erti seorang guru dan sahabat sejati.

Karya

12 Ogos 2011, Jummat

Nota:

Karya pertama 'Umat Islam perlu dibina daya tahan dalaman hadapi cabaran' atas nama pensyarah Fakulti Pengajian Islam disiarkan hari ini di Berita Harian.

Moga Allah terus mengurniakan ilham.

Tenang dan Damai

12 Ogos 2011, Jumaat

Tenang ialah sebuah nikmat. Tenang membawa kepada damai dalam fikiran, hati dan perasaan. Sejak beberapa minggu lalu nikmat ketenangan cukup dirasai. Barangkali kerana beban amanah kepimpinan yang telah dilepaskan. Pengajian utama juga telah disudahi.

Banyak masa sekarang diisi dengan renungan. Persekitaran yang berombak menyapa sudut pandang berterusan untuk terus merakam karya-karya fikiran. Nikmatnya kehidupan.

Kenangan Persahabatan

9 Ogos 2011, Rabu

Sahabat rapat Shukri Isa mengirimkan photo di laman Facebook kenangan semasa kami bersama beberapa rakan lain menjalani latihan pembinaan sakhsiyyah, juga dikenal tamrin, di Maahad Tarbiyyah Islamiyyah Derang. Bila usia semakin meningkat, kenangan lalu sering menghambat. Apatah lagi kenangan indah bersama sahabat-sahabat akrab. Begitulah persahabatan sejati akan membangkitkan kenangan hingga ke akhir hayat.












Tamat

24 Julai 2011, Ahad



Pada hari ini saya menamatkan kepemimpinan sebagai Presiden Abim. Amanah ini telah dipikul selama dua tahun iaitu satu sesi 2009/2011. Banyak suka duka dilalui. Tentu pengorbanan masa dan tumpuan fikiran mesti utuh. Organisasi ini telah berkembang pesat dengan ratusan cawangan dan agensi. Oleh itu, komitmen harus tinggi. Tambahan lagi, ia sedang dalam proses transisi. Generasi muda telah diberi peluang ke hadapan.

Banyak rakan-rakan telah membantu. Namun kesukaran wujud juga. Mewujudkan persefahaman sejati dalam sebuah organisasi yang berkembang dan berusia adalah cabaran terbesar. Apapun kepentingan organisasi ini kepada masyarakat amat besar. Oleh kerana itu, tugas dakwah perlu diteruskan. Pepatah Inggeris menyebut: "The end is always the beginning".

Terima kasih kepada semua yang telah memberi kerjasama jujur sepanjang kesempatan bersama yang amat indah.

Jurang Mengundang Beban

29 Jun 2011, Rabu

Tiga hari berada di Kota Kinabalu, Sabah menyertai Lawatan Muhibbah Penganut Agama. Wakil-wakil pemimpin agama di negara ini dari kalangan Muslim, Kristian, Buddha, Hindu, Tao, Sikh bersama-sama berdialog dan berkongsi pengalaman mengunjungi pusat-pusat ibadah dan keagamaan.

Nyata sekali, perhubungan yang harmoni antara penganut agama perlu dijayakan dengan mengurangkan jurang pandangan. Jurang yang lebar antara sesama agama mengundang pandangan dan sikap yang tidak mesra. Keadaan ini boleh membebankan.

Mulakan semula

29 Jun 2011, Rabu.

Sudah lama tidak mencatatkan sesuatu di dalam diari ini. Menulis memerlukan perasaan. Barangkali sikap yang rendah terhadap kesukaan berkongsi sesuatu yang berkaitan dengan diri menyebabkan perasaan menulis untuk diari ini sering sahaja dihalangi.

Khatam Al-Quran

14 November 2010, Ahad

Ramai sekali ibu bapa hadir mengiringi anak-anaknya ke majlis Khatam Al-Quran. Acara tahunan anjuran Kelas Tahfiz Ummah adalah antara model pendidikan alternatif Abim yang amat berjaya. Kini kelas pengajian al-Quran ini mempunyai hampir 3000 pelajar di sekitar Daerah Bangi sahaja.

Ibubapa manakah yang tidak berbahagia melihat anaknya menamatkan pengajian al-Quran secara berguru dengan sempurna. Terima kasih dan tahniah kepada semua para guru yang setia dengan tugas mulia ini. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan menambahkan keberkatan.

(Menghadiri dan merasmikan Majlis Khatam al-Quran dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Tahfiz Abim Bangi).

Diari Razak

Suka Duka Kehidupan