Khatam Al-Quran

14 November 2010, Ahad

Ramai sekali ibu bapa hadir mengiringi anak-anaknya ke majlis Khatam Al-Quran. Acara tahunan anjuran Kelas Tahfiz Ummah adalah antara model pendidikan alternatif Abim yang amat berjaya. Kini kelas pengajian al-Quran ini mempunyai hampir 3000 pelajar di sekitar Daerah Bangi sahaja.

Ibubapa manakah yang tidak berbahagia melihat anaknya menamatkan pengajian al-Quran secara berguru dengan sempurna. Terima kasih dan tahniah kepada semua para guru yang setia dengan tugas mulia ini. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan menambahkan keberkatan.

(Menghadiri dan merasmikan Majlis Khatam al-Quran dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Tahfiz Abim Bangi).

Seri Al-Huda

13 November 2010, Sabtu

Majlis menjadi begitu sebak apabila seorang pelajar yang terpilih sebagai Murid Cemerlang pada acara Graduasi di SRI Al-Huda, semasa menyampaikan ucapan penerimaan, menitiskan air mata mengenang jasa guru dan kenangannya sepanjang pengajian. Pengetua yang berada disebelah saya mengesat airmatanya tersentuh dengan suasana yang amat memilukan.

Begitulah keadaan hubungan guru dan murid. llmu yang dicurahkan dengan penuh rasa tanggungjawab akan mengukir kenangan hubungan perasaan yang tidak tergambar.

(Menghadiri dan merasmikan Majlis Graduasi Seri al-Huda, Gombak)

Hillary Clinton

2 November 2010

Bagi para wanita, Hillary Clinton tentu ialah antara model mereka. Ini kerana pencapaian dan pengalaman Hillary sebagai Wanita Pertama, Senator dan Setiausaha Negara. Di dalam majlis dialog dengan beliau sempena kunjungan pertamanya ke Malaysia, beberapa soalan tertumpu sekitar tentang peranan beliau sebagai seorang wanita, ibu dan mertua dan bagaimana beliau menyesuaikan diri menanggung beban tugas di dalam pentadbiran negara dan politik.

Nampaknya, di dalam dunia moden ini, pencapaian wanita ke tahap sebegini mendorong tarikannya yang tersendiri. Ia seperti satu bentuk 'keajaiban'. Dalam kata lain, para wanita masih memerlukan ramai lagi ikon-ikon wanita untuk mereka jadikan sumber pendorong ke hadapan.

(Menghadiri majlis dialog bersama Hillary Clinton di Istac, UIAM)

Pendidikan ABIM

25 Oktober 2010, Isnin

Pada hujung minggu, masa tertumpu kepada usaha memperkasa pendidikan Abim. Sebagai sebuah institusi masyarakat madani berorientasikan Islam, Abim telah menumpu banyak usaha sejak penubuhannya dalam membangunkan institusi pendidikan di peringkat asas, rendah, menengah dan tinggi.

Mesyuarat Lembaga YTP-Yayasan Takmir Pendidikan mencadangkan satu muhasabah menyeluruh pergerakan pendidikan peringkat asas, rendah dan menengah bagi menentukan sasaran pencapaian baru dalam tempoh sekurangnya lima tahun akan datang.

Mesyuarat JPMU - Jemaah Pengurusan Maahad Ummah pula memutuskan keperluan rombakan barisan kepimpinan.

Pembangunan pendidikan Islam memerlukan kepimpinan yang kukuh, perancangan yang jelas, dana yang mencukupi dan sokongan masyarakat akar umbi. Ini adalah keutamaan penting masa depan.

Demam Cuaca

17 Oktober 2010, Isnin

Dua hari lalu badan demam. Saya mengesaki kerana perubahan cuaca semasa seminggu di Melbourne. Di sana musim Bunga. Pada dua hari pertama, cuaca amat baik sekali tetapi tiga hari kemudiaanya, hujan dan sejuk. Itulah antara sifat Melbouren yang sering disebut orang, cuacanya boleh berubah ke beberapa musim dalam sehari.

Kunjungan ke Melbourne kali adalah antara siri-siri penting di dalam menyiapkan beban tugas pengajian.

Menulis Diari

17 Oktober 2010, Isnin

Menulis diari perlukan disiplin. Ia adalah disiplin mencatat dan masa. Dalam masa yang sama, kita harus sentiasa sensitif dan peka terhadap peristiwa yang terjadi di sekeling yang berhubungan dengan minda, perasaan dan perbuatan kita setiap hari. Banyak peristiwa berharga terjadi, tetapi sekiranya tidak disusuli dengan sensitiviti, disiplin masa dan catatan, peristiwa-peristiwa tersebut hanya akan berlalu dan tidak akan memberi makna kepada kita apatahlagi pengajaran kepada orang lain di kemudian hari.

Sudah beberapa bulan saya tidak menulis diari ini. Ini kerana masalah disiplin yang suka menangguhkan catatan walaupun sensitiviti terhadap persekitaran sentiasa tumbuh.

Ramadhan

11 Ogos 2010, Rabu

Bulan Ramadhan tiba lagi. Azam baru "menahan diri" dimulakan kembali. Membina dayatahan ialah antara mesej utama disebalik bulan penuh mulia ini. Seseorang yang berupaya memiliki kualiti dayatahan secara menyeluruh akan mampu memelihara jatidirinya sebagai seorang Muslim. Jatidiri Muslim ini tercerna di dalam pengalaman kerohanian dan watak yang sering dirujuk al-Quran sebagai Taqwa.

(Hari pertama menyempurnakan Iftrar di Restoran Arab bernama Half Moon bersama isteri dan sahabat, Sdr Nazir).

Ucapan Dasar

7 Ogos 2010, Sabtu

Setiap tahun, Presiden ABIM akan menyampaikan Ucapan Dasar. Ia harus diucapkan dengan sempurna dan dikarang dengan amanah. Ini kerana, kandungan ucapan ini akan menjadi agenda perbahasan di dalam Muktamar tahunannya. Para perwakilan yang berhimpun dari seluruh negara akan menjadikan ucapan tersebut sebagai kertas panduan untuk mereka merencana kegiatan dakwah dan menentukan halatuju organisasi untuk tempoh setahun mendatang. Begitulah tradisi ilmu yang terus subur di dalam budaya pergerakan dakwah ABIM. Tradisi ini mesti terus dipertahankan.


(Ucapan Dasar saya pada tahun ini bertajuk: Membina Ketahanan Dakwah).

Satu Tahap Perjalanan Ilmu Tiba Penghujung

25 Jun 2010, Jumaat

Agama kita menyeru menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Ia bermaksud, menuntut ilmu ialah sepanjang hayat. Ia juga harus menerusi proses bertahap-tahap. Pada setiap kali kita tiba di penghujung satu tahap perjalanan ilmu, kita akan mencapai satu rasa nikmat yang tersendiri. Kita akan merasai erti yang dikatakan tentang sebuah ilmu. Tentu akan juga merasai tentang tingkat-tingkat ilmu tersebut. Memang sungguh apabila orang-orang alim membicarakan tentang maqam atau tingkat pencapaian di dalam perjalanan rohani manusia. Setiap kali kita menerusi tingkat-tingkat ini, kita tentu juga akan merasai kekerdilan ilmu yang kita miliki. Ini kerana, tingkat ilmu sebenar terlalu tinggi dan ruangnya pula amat luas sekali. Di penghujung perjalanan, kita menemui kedudukan kita yang serba kekurangan sebagai seorang insan. Sesungguhnya memang benar, Allah Sumber yang Maha Berilmu.

(Menyerahkan tesis pengajian  untuk disemak oleh pemeriksa kepada Sekolah Pengajian Siswazah)

Menulis Suatu Nikmat

1 Jun 2010, Selasa

Berkesempatan menulis dengan tenang suatu nikmat. Fikiran harus lapang bagi memulakan catatan. Amat sukar meluahkan pandangan di dalam keadaan kekalutan. Bila tulisan ditamatkan, hati dan minda menjadi bebas. Fikiran kita akan mengelamun untuk idea dan pandangan baru. Fikiran kembali merenung suasana untuk mencari makna-makna baru disebalik kejadian-kejadian. Di dalam setiap perjalanan kehidupan ini, ada pengajaran.

Kenangan Bersama PKPIM Mengumit Perasaan

15 Mei 2010, Sabtu

Gembira bersua muka dan memberikan ucapan di Tamrin Qiyadiy PKPIM di Ayer Tawar, Perak. Kenangan semasa bergiat di persatuan ini di usia mahasiswa kembali mengumit. Kehidupan kemahasiswaan mencabar. PKPIM banyak memberikan arah. Pengalaman kepimpinan banyak dipelajari disamping berkesempatan berkenalan dengan ramai tokoh dakwah. Paling mustahak sekali ialah pendedahan tentang arah perkembangan dunia di masa depan.

(Dijemput sebagai ahli panel bersama Presiden PKPIM, Sdr Faisal)

Doa Selamat Sempena Hari Belia

14 Mei 2010, Jumaat

Beberapa VIP hadir termasuk Menteri Belia dan Menteri Agama ke Doa Selamat sempena Hari Belia Negara. Semua bersungguh-sungguh untuk membangun belia. Kesedaran ini ialah permulaan yang baik sekali untuk generasi akan datang.

(Berkesempatan berkenalan dengan Presiden MBM, Sdr Maliki)

Ulangtahun Kelahiran

2 Mei 2010, Ahad

Hari kelahiran tiba lagi buat kesekian kalinya. Jiwa terus terasa muda walaupun beberapa anggota fizikal telah menunjukan perubahan. Berdoa agar Allah melanjutkan usia demi meningkatkan amal ibadah kepada Nya di muka bumi diharuskan.

Kepimpinan Bermuafakat

1 Mei 2010, Sabtu

Kepimpinan satu seni yang amat sukar. Kita perlu menguruskan pelbagai harapan. Para pengikut menginginkan satu kefahaman yang menyeluruh tentang agenda kerja kepimpinan dan pengarahan yang sejelasnya. Cabaran utama seorang pemimpin ialah menggagaskan pandangan secara keseluruhan. Pengikut pula akan sentiasa mendambakan idea dan pemikiran baru. Segala cabaran ini boleh diatasi sekiranya kita berjaya mewujudkan kepimpinan bermuafakat.

(Berbengkel bersama Yang Dipertua Abim Negeri dan Setiausaha di Jitra, Kedah)

Gout

23 April 2010, Jumaat

Gout ialah sejenis penyakit yang menyerang sendi. Orang kesihatan memberitahu, ia berpunca dari lebihan bahan asid dalam tubuh kita. Jadi, seseorang yang terkena penyakit ini perlulah mengamalkan disiplin permakanan yang sihat.

Apabila sendi kaki terasa sakit, kita tidak boleh melakukan aktiviti berjalan yang rancak. Aktiviti yang sesuai ialah berbaring sambil menonton atau membaca.

Pak Kiyai Tokoh Feminis

20 April 2010, Selasa

Pak Kiyai Hossein di kenal sebagai Kiyai Gender di Indonesia kerana ketekunan beliau membahaskan hal-hal yang bersangkutan isu-isu keperempuanan. Pertembungan aliran faham tentang permasalahan gender suatu yang masih real di dalam dunia pemikiran Islam semasa.

(Berkesempatan mendengar ucapan Pak Kiyai Hossein di Dialog Legal Asia di Sekolah Undang-undang, Universiti Melbourne)

Tarikh Penghujung Perjalanan Ilmu

19 April 2010, Isnin

Hari ini mendapat kesepakatan tentang cadangan tarikh penghujung untuk perjalanan ilmu pengentahuan ini. Rahmat dari Allah sahaja yang akan memudahkan segala urusan selanjutnya nanti.

Kesukaran Dalam Perjalanan...

19 April 2010, Isnin

Seorang warga Mesir, berwatak warak, memandu kereta bersamanya seorang isteri dan dua orang anak lelaki, melambai tangan dan memberhentikan kereta meminta bantuan kerana keretanya telah diceroboh menyebabkan kehilangan segala dokumen dan wang, memohon pinjaman wang untuk beliau meneruskan perjalanannya.

Begitulah apabila kesukaran terjadi di dalam perjalanan kehidupan kita, memohon pertolongan dengan sesiapa sahaja walaupun langsung tidak pernah dikenali.

Bila Badan Kepenatan.....

17 April 2010, Sabtu

Bila badan kepenatan, seluruh anggota yang lain juga mendapat kesan. Di dalam suasana udara yang nyaman dan kesejukan, mata pula mudah terasa mengantuk. Keadaan ini menjadikan kita mudah tertidur walaupun di siang hari.

Keutamaan Mencapai Ilmu

14 April 2010, Rabu

Keutamaan tertinggi setiap insan ialah mencapai ilmu pengentahuan. Ilmu memiliki tingkatnya. Kita hendaklah berusaha mencapai tingkat tertinggi sehingga memperoleh hikmah. Mencapai tingkat ini menuntut kesabaran dan ketekunan di dalam perjalanan hidup. Nanti, bila kita mencapainya, kita sahaja yang mengerti tentang makna hikmah itu.

(Tiba dan bermalam di rumah Fadli, sahabat dan jiran di Regent Street, Victoria).

Satu Peribadi, Pelbagai Watak

27 Mac 2010, Sabtu

Semua pendakwah ialah satu peribadi walaupun mereka terjelma di dalam pelbagai watak. Para pendakwah sebagai satu peribadi terangkum di dalam ikhtiar menunaikan amanah Islah atau pembaikan di dalam masyarakat. Usaha pembaikan masyarakat menuntut usaha dan ikhtiar semua kita menerusi watak-watak yang pelbagai.

(Memberikan ucapan aluan di Wacana Isu Semasa, anjuran Abim)

Bersama Pencinta Pendidikan Islam

17 Mac 2010, Rabu

Pencinta pendidikan amat ramai. Mereka dari kalangan orang kenamaan, orang dewasa dan kanak-kanak. Apabila para pencinta ini terhimpun, aura kekuatan dan obor perjuangan memartabatkan cita-cita pembinaan generasi sempurna dan berhikmah terus bersemarak. Dari kalangan mereka, para pendidik pendidikan Islam ialah tonggak penggerak. Kegigihan dan pengorbanan dibina diatas tujuan luhur: mempersiap generasi pemimpin Ummah pada masa depan.

Salam perjuangan untuk semua pencinta pendidikan Islam.

(Hadir merasmikan majlis penutup Ihtifal Kebangsaan Akademik Yayasan Takmir Pendidikan  Abim kali ke 10 di Ipoh, Perak)

Berkawan Biar Seribu

14 Mac 2010, Ahad

Semuanya seolah memiliki perasaan yang sama. Rasa kehilangan dan gembira bertemu semula. Di dalam diri kita, rupanya kenangan atau nostalgia silam tidak luput. Apatah lagi kenangan tersebut terbina di atas perasaan persahabatan ikhlas dan tulus. Nilai persahabatan di alam persekolahan yang terbina dari hati yang luhur kekal abadi. Begitulah pepatah, 'berkawan biar seribu'.

(Minum kopi bersama kawan-kawan sekolah SMA Falahiah, Pasir Pekan, generasi atau batch 1987 di Kopitiam Wakaf Siku. Setelah lebih 20 tahun tidak bertemu, semuanya sudah dewasa. Namun, hilai tawa masih seperti dahulu)

Buku Riwayat Natrah

9 Mac, Selasa

Buku riwayat tentang  Natrah karya Fatini Yaacob memberi makna tentang sumbangan kisah  ini di dalam membangkitkan jiwa umat dan tanahair. 

Di dalam peristiwa ada erti dan makna. Sejarah ialah guru.

Tahniah dan selamat berkarya kepada Datin Seri Fatini Yaacob.

(Berasa gembira berkesempatan menghadiri dan memberikan sokongan kepada sahabat "Kak Tini" pada majlis pelancaran buku beliau, Natrah, oleh Y.A.B Tan Sri Muhyidin Yassin di UTM Semarak)

Nadi Kebaikan

6 Mac 2010,Sabtu

Nikmat tertinggi yang manusia miliki ialah apabila berkesempatan dan berupaya menghayati makna kebaikan. Kebaikan terjelma apabila unsur-unsurnya yang pelbagai didorong secara berterusan dan hikmah. Seruan kepada kebaikan seringkali dijayakan oleh pendakwah. Mereka ialah Nadi Kebaikan.

Para pendakwah terdiri dari individu dan organisasi. Kebaikan yang kita perolehi dan nikmati adalah hasil dari usaha dan ikhtiar setiap waktu dan hari pendakwah demi membangunkan kebaikan di dalam kehidupan. Mereka memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Ilahi. Sebagaimana sebuah firman, kalimah terbaik sekali tidak lain seruan kepada ketaatan kepada Allah dan melakukan amal soleh.

(Menghadiri dan memberikan ucapan pada perhimpunan tahunan pendakwah Abim 2010 di Kuala Lumpur)

Sentuhan Karya, Mata Menangis

3 Mac 2010, Rabu

Banyak perkara boleh menyentuh perasaan kita. Ini termasuk karya seni yang indah. Keindahan sesebuah karya seni ialah pada kesempurnaan gabungan seluruh unsur kehidupan: cita-cita dan keinginan, kehormatan, kelucuan, kecacatan,buruk sangka, keriangan, kejahatan dan kebaikan, irama dan hiburannya, di dalam satu himpunan manifestasi seni.

Karya seni yang indah lebih bermakna apabila makna-makna yang diterbitkan penuh pengajaran dan memberikan keinsafan tentang suka duka kehidupan manusia. Ia boleh menyentuh jiwa kita dan membuatkan mata kita menangis.

(Karya Nama Saya Khan (My Name is Khan) mengandungi banyak pengajaran)

Apabila Beban Menjadi Ringan

3 March 2010, Rabu

Bebanan yang berat dipikul boleh menjadi ringan. Sekiranya bebanan tersebut bersifat tanggungjawab penyempurnaan tugas, ia akan menjadi ringan apabila sebahagian atau keseluruhan amanah tersebut berjaya disempurnakan. Apabila bebanan menjadi semakin ringan, fikiran tidak lagi tertekan, perasaan menjadi tenteram dan jiwa kita dalam keadaan tenang.

Banyak kelebihan yang diperoleh bila bebanan semakin ringan. Pada ketika ini, kita boleh memberi perhatian kepada perkara-perkara yang bersifat sampingan. Dalam ibarat membaca buku: Apabila semua buku-buku utama telah diperhalusi, maka berkesempatanlah seterusnya untuk membaca buku-buku sampingan seperti novel dan tulisan ringan.

Begitulah juga barangkali ibaratnya di dalam kehidupan harian manusia. Apabila kita telah menyempurnakan tuntutan dan keperluan asasi di dalam hidup, setelah itulah berkesempatan untuk menikmati acara sampingan seperti berhibur, berehat-rehatan di pantai, makan-makan di luar dan "makan angin".

Ziarah Tali Ukhwah

28 Feb 2010, Ahad

Apabila kita meluangkan sedikit waktu berziarahan sahabat handai atau kaum keluarga, sebenarnya kita sedang menghubungkan tali ukhwah. Peranan tali ialah sebagai penjalin ikatan hubungan. Ziarah sebagai tali akan merapatkan jurang perbedaan, mendekatkan perasaan, menghilangkan keterasingan dan menjadikan kita sebagai sebahagian dari keseluruhan makna persaudaraan.

Ziarah secara ikhlas menghiburkan hati dan mensucikan jiwa. Ini kerana ziarah ialah kita hadir untuk menjalin tali ukhwah bagi memenuhi tuntutan agama: Muslim sesama Muslim bersaudara. Persaudaraan sesama Muslim, di dalam satu ibarat pedoman Nabi: Paha kiri sakit, sakit juga terasa di paha kanan. Silaturahim ialah nikmat yang indah.

(Berasa amat gembira dapat bertemu dengan pasangan suami isteri Mohan dan Fadzlin di rumah mereka sambil berkenalan dengan zuriat baru mereka, Reeyaa).

Kanak-kanak dan Dunianya

28 Febuari 2010, Ahad

Sasha amat bergembira sekali menerima hadiah yang dijanjikan. Objek berupa kotak simpanan berbentuk jantung dengan sulaman manik-manik berwana-warni menghiburkannya. Dia seperti berasa sungguh puas sekali menerima hadiah tersebut. Apakah makna hadiah tersebut kepada dirinya adalah misteri. Hanya dia dan dunianya sahaja yang mampu mengerti. Orang dewasa, yang telah lama meninggalkan dunia kanak-kanak,hanya mampu tersenyum dan terhibur melihat gelagat seorang kanak-kanak bersama dengan objek kesukaannya.

Suatu makna telah hadir di dalam diri.Rupa-rupanya, sedang kanak-kanak terhibur dengan objek-objek kesukaannya, mereka sebenarnya juga sedang menghiburkan perasaan orang dewasa, secara tidak sedar. Kita semua saling memerlukan.

(Sasha atau nama penuhnya Aishah Nabila, baru memasuki Tadika, ialah anak seorang kenalan. Berkesempatan berziarahan di hujung minggu memberikan kerehatan fikiran dan perasaan).

Bebanan Para Ilmuwan

26 Febuari 2010, Jumaat

Bebanan sebagai sebuah makna tercerna di dalam pelbagai jelmaan-jelmaannya. Bebanan dalam jelmaan fizikal mudah difahami. Menanggung sesuatu bahan yang berat pada diri ialah satu bentuk bebanan. Bebanan juga tercerna di dalam jelmaan tanggungjawab. Seorang suami atau isteri mempunyai beban tanggungjawab memastikan kualiti hidup anggota keluarga terjamin. Pemimpin sebuah masyarakat terbeban dengan tanggungjawab kepimpinan memelihara kualiti hidup dan keselamatan masyarakat.

Bebanan juga tercerna di dalam menanggung amanah ilmu pengentahuan. Seorang ahli ilmu terbeban dengan amanah untuk membangunkan ilmu pengentahuan dan menyebarkannya kepada seluruh warga manusia. Beban tertanggung golongan ilmuwan amat berat sekali. Menjaga, membangun dan menyebarkan ilmu atau al-hikmah adalah tanggungjawab yang tidak terpilih oleh warga bergelar ilmuwan.

Golongan ilmuwan ialah nara sumber masyarakat memperoleh cahaya al-hikmah. Oleh kerana itu barangkali, Allah menjanjikan ganjaran yang amat besar kepada golongan ilmuwan yang mampu menanggung bebanan amanah ini dengan jayanya sepanjang hidupnya di dunia ini. Malah Allah ada menyebut, bagi sesiapa yang memperoleh al-hikmah, maka dia telah memperoleh kebaikan yang amat banyak sekali. Di dalam pedoman yang lain, golongan ilmuwan ialah pewaris tugas kenabian.

Selamat menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Masa Suntuk, Beban Bertambah

24 Febuari 2010, Rabu

Perjalanan hidup kita didorong oleh banyak perkara. Apabila beban terasa bertambah tetapi masa dirasakan suntuk untuk menyempurnakannya, ia mendorong banyak pergerakan di dalam diri kita. Fikiran menjadi terasa berat, hati menjadi bertambah gundah dan perasaan menjadi tidak begitu tenang. Bebanan dan waktu pada keadaan ini saling berkejaran.

Kenangan Zaman

23 Febuari 2010, Selasa

Di dalam alam fikiran kita mengandungi satu ruang terkandung himpunan ingatan tentang kisah-kisah terpilih sepanjang perjalanan diri insan. Himpunan ini seperti sebuah karung. Ia tempat kenangan suka dan duka kisah kehidupan sejak berzaman tersimpan. Kenangan-kenangan ini bergelombang dan tergambar di dalam alam fikiran sekiranya ingatan terhadapnya terangsang. Kenangan yang melucukan sepanjang perjalanan zaman boleh membuatkan kita tersenyum keseorangan apabila ia kembali tergambar di dalam fikiran dan ingatan.

(Surat menyurat secara maya dengan rakan-rakan lama di zaman persekolahan menengah mengembalikan kegembiraan kenangan di zaman remaja)

Pandangan Kedua

22Febuari 2010, Isnin

Setelah terbina pandangan pertama, kita hendaklah mendapatkan pandangan kedua. Pandangan kedua berperanan sebagai cermin - membuat refleksi terhadap pandangan pertama. Pandangan kedua ialah gandingan yang bertentangan. Ia mencetuskan konflik dan pertembungan di alam pandangan secara sihat. Ia merungkai kekaburan dan merobek erti. Pandangan kedua yang diraikan secara hormat menjadi cerminan sebuah kesempurnaan.

(Berdialog dengan seorang teman sambil menjamu hidangan petang mencambahkan dan menyegarkan asas-asas pandangan)

Permulaan Baru dengan Berkat

21 Febuari 2010, Ahad

Sesuatu yang baru dimulakan dengan amalan yang berkat. Begitulah tradisi amalan masyarakat Melayu-Islam walau di mana juga mereka berada. Bacaan dari ayat-ayat suci al-Quran, memohon doa setelah bersembahyang dan menjamu hidangan yang enak kepada saudara mara, jiran tetangga dan kenalan adalah antara amalan-amalan permulaan untuk sesuatu yang baru di dalam langkah-langkah perjalanan kehidupan. Semoga keberkatan dan kemajuan diperoleh.

(Hadir di majlis doa selamat 'naik rumah', jemputan seorang kenalan sebagai meraikan permulaan baru anak lelaki yang bakal memulakan pengajian di peringkat ijazah tinggi).

Rupa Diri Masyarakat Minoriti

21 Febuari 2010, Ahad


Cabaran terbesar masyarakat minoriti ialah mempertahankan rupa dirinya, atau identitinya di dalam sebuah masyarakat yang lebih besar atau majoriti. Memandangkan rupa diri kita unik dan tersendiri, malah lambang suatu harga diri, rupa diri terlalu berharga. Apatah lagi sekiraya unsur pembentuk rupa diri ialah nilai agama dan moral yang murni.

Bagaimana rupa diri minoriti mampu bertahan di dalam sebuah rupa diri yang besar yang diwakili oleh perkumpulan majoriti? Ketahanannya apabila ia mampu mampu melakukan penyesuaian. Rupa diri kecil/minoriti perlu sesuai keberadaannya dengan suasana dan tuntutan persekitaran rupa diri yang besar/majoriti.

Penyesuaian ialah proses penyegaran semula sumber-sumber inti pembentuk rupa diri. Penyegaran inti mendorong daya kemunculan wajah baru rupa diri yang unik,sesuai pula dengan kepelbagaian ruang dan rupa diri di persekitannya.Rupa diri baru yang segar terbina dari inti yang kekal. Keunikannya ialah pada wajah barunya yang serasi dan bersalingan dengan rupa diri yang lain.

Rupa diri baru masyarakat minoriti menjadi sebahagian yang dihargai di dalam keseluruhan corak rupa diri yang indah dan harmoni.

(Catatan bersumberkan wawasan dan ilham dari ucapan oleh Issam Nabulsi bertajuk: "Muslim Minorities, Minarets and Modernity", di, Melbourne City Circle Forum, University of Melbourne pada 21 Feb 2010 (Ahad)

Mencapai Makna dan Keindahannya

20 Febuari 2001, Sabtu

Keindahan hakiki ialah apabila kita mencapai makna di dalam pengkajian dan renungan. Makna hadir di dalam diri dan menjadi sebahagian dari diri. Makna merungkaikan kekusutan dan kecelaruan erti sebelumnya. Makna memberi petunjuk dan maksud. Makna menjelaskan sehingga kita melihat sesuatu dalam keseluruhannya. Barangkali, makna itulah yang dinamakan al-Hikmah.

Membaca Menenangkan

19 Febuari 2010, Jumaat

Membaca boleh menenangkan. Untuk memperoleh ketenangan dengan membaca, kita tidak boleh membaca dalam keadaan gopoh. Kita hendaklah membaca dengan teliti. Kita perlu membaca dari satu ayat kepada satu ayat dan dari satu perenggan kepada satu perenggan yang lain dengan penuh penelitian. Kita meneliti tahap perkembangan fikiran yang ingin disampaikan oleh penulis yang dijelmakan menerusi setiap patah ayat dan perenggan di dalam tulisan.

Membaca tulisan yang ditulis oleh penulis yang baik dengan teliti, tidak gopoh, kita akan memperoleh ketenangan darinya. Penulis yang baik menyusun setiap patah ayat tulisannya dengan indah mengikut tatabahasa yang sempurna dan tertib. Ketertiban susunan ayat akan menjelmakan keindahan pada sesebuah tulisan. Keindahan sesebuah tulisan sebenarnya suatu jelmaan keindahan jiwa penulis itu sendiri.

Keindahan jiwa penulis akan menghasilkan suatu jelmaan alam fikiran yang indah juga, tergambar di dalam ketertiban irama bahasanya dan tulisanya. Membaca tulisan yang indah akan membawa kita kepada menghayati keindahan alam fikiran penulis yang serba luas. Di situlah nanti kita akan menemui ketenangan.

Suka Duka Kehidupan